My Diary.

Dasar luar Negara


Pengenalan


Dasar luar Negara merupakan polisi sesebuah negara dalam menjalinkan hubungan antarabangsa dengan negara lain. Sehubungan dengan itu, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat perlu menentukan dasar luar negara bagi mewujudkan hubungan persahabatan, keamanan dan kemakmuran sejagat.

Definisi & Konsep

Menurut Chamil Wariya di dalam bukunya Dasar Luar Era Mahathir(1989) ada menyatakan bahawa dasar luar ialah alat atau instrumen yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk berinteraksi dengan sebuah negara yang lain, baik yang berjiran dengannya atau yang berada jauh darinya. Melalui dasar luar ini, sesebuah negara menyatakan pendirian mereka terhadap perkembangan dan pergolakan yang berlaku di luar sempadan negara dalam hubungan antarabangsa. Dasar luar juga mencerminkan sikap yang berkecuali yang tidak mengikat pada mana – mana negara kuasa besar. Dasar luar juga boleh mencorak pemencilan atau pengasingan seperti mana yang diamalkan oleh Myanmar satu masa dahulu yang mengambil pendirian menyisihkan negara itu daripada pergolakan yang berlaku di luar. Dasar luar juga boleh memperlihatkan sikap yang memihak kepada salah suatu kuasa besar dunia yang mempunyai ideologi politik dan sistem ekonomi yang berlawanan dan bertentangan. Dasar luar juga boleh memperlihatkan sikap sesebuah negara tentang peranannya dalam senario politik antarabangsa sama ada ia ingin memainkan peranan pasif atau aktif dalam forum – forum dunia.

Menurut Profesor Madya Dr. Mokhtar Muhammad di dalam bukunya Perhubungan Antarabangsa – Konsep dan Konteks (2005), menyebut bahawa dasar luar adalah dasar yang diamalkan oleh sesebuah negara di dalam menjalinkan hubungan dengan sesebuah negara lain. Dasar luar merujuk kepada tindakan atau idea yang dibuat oleh pembuat dasar untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau membawa perubahan suasana politik antarabangsa. Dasar luar juga merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh pemimpin negara untuk dijadikan garis panduan bagi memilih tindakan adil dengan situasi tertentu dalam hal ehwal antarabangsa.

Dasar luar amat penting kerana boleh mempengaruhi tingkah laku negara serta perhubungan politik di peringkat antarabangsa, wilayah atau serantau. Tingkah laku merujuk kepada tindakan yang diambil oleh negara terhadap satu sama lain dan bertujuan mencapai aspirasi jangka panjang atau matlamat jangka pendek.

Kesimpulannya, definisi dan konsep dasar luar negara merujuk kepada langkah – langkah atau peranan yang diambil dan ditentukan oleh pemimpin negara bagi menjaga keamanan dan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara di peringkat antarabangsa.

Faktor – faktor pertimbangan dalam pembentukan Dasar Luar Negara

Antara faktor – faktor yang mempengaruhi pertimbangan di dalam pembentukan sesuatu dasar luar negara ialah kepentingan nasional. Apa itu kepentingan nasional? Menurut Joseph Frankel (1987), kepentingan nasional adalah konsep terpenting dalam dasar yang diamalkan oleh sesebuah negara. Perkataan ’nasional’ itu sendiri merujuk kepada bangsa dan negara. Maka ia bermaksud matlamat umum yang berterusan dicapai melalui kepentingan negara. Kepentingan itu tidak harus ditafsirkan dengan sempit sehingga mengenepikan pertimbangan moral, agama dan sebagainya. Kepentingan nasional dasar luar Malaysia ialah bertujuan berwaspada dan berhati – hati dalam hubungannya dengan negara – negara lain agar sentiasa di dalam keadaan yang baik dan tidak berteraskan kekerasan. Contohnya, Malaysia menganggotai ASEAN agar keselamatan Malaysia terjamin di serantau Asia Tenggara dengan menjalankan hubungan baik dengan negara – negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan sebagainya. Justeru, kepentingan nasional dititikberatkan di dalam sesebuah dasar luar yang digubal agar keamanan dan kestabilan negara terjamin.

Faktor lain yang dapat dilihat ialah dari segi ekonomi. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan pasaran bebas. Malaysia telah menjalinkan hubungan baik dengan negara – negara lain di dunia sebagai usaha memajukan ekonomi negara. Contohnya, sejak zaman penjajahan British lagi, Malaysia merupakan antara negara pengeluar bijih timah dan getah maka melalui ruang ekonomi, Malaya pada ketika itu telah menjalinkan hubungan ekonomi dengan negara – negara maju seperti Amerika Syarikat dan British untuk memajukan ekonomi. Setelah merdeka, Malaysia telah mengambil langkah – langkah untuk menggalakkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Pada tahun 1980, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah melancarkan Dasar Pandang Ke Timur. Melalui dasar ini, Malaysia mengharapkan pelabur – pelabur dari Timur seperti Jepun dan Korea dapat memasuki pasaran di Malaysia seterusnya membantu Malaysia membangun seperti negara tersebut.

Faktor berikut yang mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia ialah melalui Piagam Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu atau PBB. Malaysia mula menganggotai PBB pada tahun 1957 iaitu selepas kemerdekaan. PBB yang ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1945 iaitu selepas Perang Dunia Kedua apabila Liga Bangsa telah dibubarkan setelah gagal menghalang berlakunya Perang Dunia Kedua. Pada awal
penubuhannya PBB hanya dianggotai oleh 51 buah negara sahaja namun sehingga 2002, keanggotaannya telah meningkat kepada 189 buah negara. Negara – negara yang menganggota PBB harus akur dengan piagam PBB iaitu satu perjanjian antarabangsa yang menggalurkan prinsip – prinsip asas hubungan antarabangsa. Empat prinsip asas yang ditetapkan oleh PBB ialah setiap dasar luar negara anggota PBB perlu: 

· Menjamin keamanan dan keselamatan dunia
· Menggalakkan hubungan berbaik – baik antara negara anggota
· Bekerjasama dalam menyelesaikan masalah antaranbangsa dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit
· Menjadi pusat bagi mengharmonikan tindakan negara – negara
anggota

Lantaran itu, dasar – dasar luar negara Malaysia yang dibentuk haruslah mengikuti piagam PBB yang telah ditetapkan seperti di atas.

Faktor lain yang mempengaruhi pertimbangan dan pembentukan dasar luar Malaysia ialah faktor Geografi. Malaysia terletak di kedudukan yang strategik di Asia Tenggara. Sejarah telah membuktikan bahawa Melaka dahulunya adalah pusat perdagangan di Asia Tenggara yang terkenal. Malah ia menjadi pusat perkembangan ekonomi serantau Asia Tenggara pada masa dahulu. Maka kedudukan Malaysia yang bersempadan dengan hampir kebanyakkan negara di rantau ini seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei telah mempengaruhi penggubalan dasar luar negara Malaysia. Contohnya, perairan negara Malaysia telah menjadi laluan utama kapal perdagangan maka penggubalan akta luar negara perlu diselaraskan agar keselamatan Malaysia dan serantau terjamin. Selain itu, ia juga mempengaruhi faktor kebanjiran pendatang asing untuk mencari peluang pekerjaan di Malaysia maka, akta – akta yang berkaitan telah digubal bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah dan ancaman kepada negara. Ini berikutan kedudukan Malaysia yang strategik dan berada di tengah – tengah negara ASEAN.

Kesimpulannya, dapat kita lihat di sini perjalanan dasar luar Malaysia yang bertitik tolak mulanya selepas kemerdekaan yang mana dari dasar pro-Barat dan antikomunis, telah banyak dipengaruhi oleh Barat terutama British yang menjajah negara. Namun, pihak pemerintah negara telah mengambil inisiatif dengan mengamalkan dasar berkecuali dan berbaik – baik dengan semua negara di dunia kecuali Israel. Dari segi ekonomi pula, melalui dasar luarnya, Malaysia telah membangun dengan pesat dan menjadi contoh kepada negara – negara membangun yang lain. Blok ekonomi yang dibentuk melalui EAEC telah membuka mata dunia bahawa negara – negara kecil juga mampu mengangani masalah ekonomi dan menjaga kestabilan ekonomi mereka sendiri. Malaysia juga menerima banyak pengiktirafan oleh dunia di dalam menangani isu – isu global dan penglibatan dalam mesej keamanan melalui PBB malah beberapa pertubuhan Malaysia telah diakui oleh dunia seperti peranan MERCY dan Aman Malaysia.

Akhir kata, Dasar Luar Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan dan keamanan seluruh dunia banyak memberi kesan yang positif kepada Malaysia sendiri. Ketokohan para pemimpin yang dimiliki oleh Malaysia telah banyak membantu Malaysia terkenal di mata dunia. Malaysia kini mampu meneruskan cabarannya sebagai sebuah negara yang membangun untuk menjadi negara maju yang aman damai, cemerlang, gemilang dan terbilang.

P/S : Edited. Credit to International Relation UKM





2 comments:

  1. terima kasih atas maklumat yang diberikan .
    semoga berjaya dalam STPM .

    ReplyDelete
  2. Welcome! Amin, inshaa Allah :)

    ReplyDelete

Any Comment?